Saturday, August 4, 2012

Kisah Muka Buku



"Nah, ni untuk Chik!". Aku menghadiahkan sebuah buku cerita pada sepupu aku yang datang bertandang petang itu. Dia nampak gembira. Biarlah, banyak lagi buku. Jujur, dah tak banyak koleksi buku cerita aku yang tinggal. Bagi dekat saudara-mara.
"Habislah buku Kak Iqah." Adik ni dah kenapa.
"So?. Kan Kak Iqah ada lagi buku cerita. Bukan awak nak baca pun."
"Tak sayang ke?. Kot nak buat warisan pada anak cucu." Nak tergelak aku.
"Buku ilmiah boleh la kalau nak bahagikan ikut kaedah faraid." Koleksi buku ilmiah memang aku nak simpan elok-elok. Buat tatapan anak cucu. Amboi, macam aku ni tua sangat.


Pernah baca artikel ni?



Agih, wakaf buku simati

 Oleh Nazmi YaakubCetak
Bahan bacaan termasuk sebagai harta pusaka dan perlu ikut hukum faraid 

BUKU tidak hanya menjadi warisan dalam konteks isi kandungan dan ilmunya kepada pembaca, bahkan secara fizikal termasuk sebagai harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid. 

Bagaimanapun, kedudukannya sebagai harta pusaka itu tidak disedari sehingga koleksi buku di perpustakaan peribadi tinggalan waris mereka yang meninggal dunia terbiar sehingga rosak kerana tidak lagi dijaga. 

Sebahagian koleksi buku terutama karya nadir, teks lama dan manuskrip pula menjadi sangat berharga sehingga nilainya mampu mencecah puluhan ribu, malahan ada juga jutaan ringgit ,tetapi kadangkala tersorok di dalam almari atau loteng rumah kerana waris jahil terhadap nilainya dari segi ilmu dan material. 

Imam 1 Masjid al-Hukama’, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Azman Ahmad, berkata buku yang ditinggalkan oleh si mati mempunyai manfaat yang besar kepada waris dan kepentingannya sama seperti tinggalan harta pusaka. 

“Jika harta pusaka perlu dibahagi-bahagikan dengan adil dan saksama mengikut faraid dalam Islam, begitu juga buku yang ditinggalkan oleh si mati hendaklah dibahagikan sesama anak sekiranya boleh dimanfaatkan oleh mereka. 

“Cendekiawan dan tokoh gerakan Islam, Imam Hassan al-Banna meninggalkan khazanah buku kepada anaknya, iaitu Wafa, Saiful Islam, Tsana, Raja’, Halah dan Istisyhad yang dapat memanfaatkan memanfaatkan buku yang sebelum itu menjadi cermin diri dan pemikiran ayah mereka,” katanya kepada Sastera di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini. 
Azman mengumpamakan buku yang menjadi harta pusaka seperti tanah atau rumah yang dipusakai oleh keluarga turun-temurun sehingga nilai dan harganya semakin tinggi apabila usianya makin bertambah. 

“Oleh itu, sekiranya buku itu tidak boleh dimanfaatkan oleh waris tidak lama selepas kematian dan pembahagian faraid atas faktor usia atau ketidakupayaan untuk menguruskannya, maka harta itu dipindahkan kepada pemegang amanah. 

“Ini kerana mungkin buku itu tidak dapat dimanfaatkan disebabkan keterbatasan ilmu dan usia, tetapi boleh digunakan apabila anak meningkat dewasa seperti buku agama yang ilmunya dapat dimanfaatkan bukan saja oleh anak, bahkan cucu-cicit sekiranya dipelihara dan dipulihara dengan baik,” katanya yang juga Pegawai Perancang Bahasa DBP. 

Bagi waris yang berasa tidak dapat memanfaatkan buku yang ditinggalkan itu, Azman menyarankan mereka untuk menghadiahkan buku berkenaan kepada alim ulama atau mewakafkannya ke institusi ilmu supaya ia terus dimanfaatkan. 

“Malah, waris juga boleh menggunakan kecanggihan teknologi maklumat untuk memuatnaikkan isi kandungan buku itu ke dunia maya sekiranya hak ciptanya sudah menjadi hak awam. 

“Kelak buku tinggalan si mati itu boleh dicapai oleh jutaan pengguna dan pembaca, sekali gus pahala jariah yang diperoleh si mati akan terus berpanjangan,” katanya yang juga novelis Namaku Bukan Maria, Punya Cinta Ramadan dan Insyirah. 

Bagaimanapun, Azman mengingatkan masyarakat tentang buku yang dinilai sebagai khazanah yang baik adalah buku yang sifatnya ‘mutlak’, iaitu tulisan yang baik dan kandungan ilmu memberi manfaat kepada pembaca. 

“Ia bukan buku yang sifatnya ‘mutanajjis’, iaitu karya yang isi kandungannya sudahlah mengelirukan, bahkan merosakkan akidah dan akhlak warisnya sendiri. 

“Buku yang menyeru ke arah akidah yang sesat dan akhlak yang rosak serta menghina Islam bukan saja tidak boleh dibaca, malah waris hendaklah membakarnya,” katanya. 

Namun, Azman menegaskan waris perlu membezakan buku yang mutanajjis itu dengan buku yang bersifat ‘mustakmal’, iaitu asalnya baik kepada si mati ketika hidupnya tetapi kandungannya tidak sesuai dibaca oleh si waris dan orang awam. “Waris boleh mewakafkan buku berkenaan kepada individu atau institusi yang mempunyai wewenang agama atau ilmu untuk tujuan kajian atau simpanan dalam koleksi nadir sebagai bahan perbandingan dan bukti. 

“Saya sendiri memiliki koleksi nadir, ‘al-Sab’ah min al-Salaf’ karya al-Sayid Murtada al-Sayid Muhammad al-Husaini yang isi kandungannya menuduh sahabat dan isteri Nabi sebagai sesat, iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman, Aisyah, Hafsah, Muawiyah serta Khalid al-Walid,” katanya. 

Fikrah Azman itu bertepatan dengan pandangan Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Ridzuan Awang yang menyarankan waris mengambil jalan muafakat untuk mewakafkan buku yang dimiliki saudara mereka yang meninggal dunia. 

“Pada kebiasaannya buku yang juga termasuk dalam harta pusaka tidak dibahagi-bahagikan sesama waris, sebaliknya diberikan kepada pihak yang berkenaan kerana manfaatnya tidak berterusan. 

“Pemberian itu menjadi amal jariah kepada si mati seperti apabila diwakafkan kepada perpustakaan umpamanya dengan syarat mendapat persetujuan waris yang terbabit,” katanya kepada Sastera di Fakulti Pengajian Islam (FPI), UKM, Bangi, baru-baru ini. 

Bagaimanapun, Dr Mohd Ridzuan mengingatkan harta pusaka berbentuk buku itu sekiranya menjadi rebutan dan menimbulkan pergaduhan di kalangan waris, harta terbabit perlu dibahagi-bahagikan mengikut faraid. 

Mengenai tindakan waris membiarkan buku si mati sehingga terbiar dan rosak yang akhirnya dibakar, beliau berkata, tindakan itu sangat merugikan si mati kerana ‘menghalangnya’ daripada mendapat pahala yang berterusan sekiranya ia diwakafkan. 

“Lagi pun banyak perpustakaan seperti di UKM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) mempunyai koleksi individu tertentu serta mengalu-alukan sumbangan buku. 

“Biarlah waris menyedari mereka boleh menggunakan buku itu untuk memberi manfaat kepada si mati dalam bentuk wakaf di perpustakaan kerana pahalanya akan berlipat-ganda apabila semakin ramai orang membacanya secara berterusan,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Panel Penilai Karya Undang-undang DBP.
Aku mengikuti perkembangan seseorang ni. Ehem-ehem. Gurau jerr.
Sebenarnya, aku pernah terbaca Tan Sri A. Samad Ismail mewakafkan sebahagian buku-bukunya. Sure berharga. Pada anak-anaknya pun adalah bahagiannya. Aku menjadi sayu melihat buku-buku disusun dengan kemas di sebelah jenazahnya. Sayu pulak. Benarlah kata arwah atuk aku, kalau kita kejar harta, kita yang kena jaga harta tu tapi kalau kita kejar ilmu, ilmu yang akan jaga kita sehingga akhir hayat.
"Kita tau buku apa yang boleh Kak Iqah faraidkan."
"Apa?." Tanyaku.
"Tu... diari yang Kak tulis tu. Best kot baca."
"Hei... Baca diari Kakak?, Tak malu ke?" Geram aku. Patah riuk dia nanti.
Nak baca diari orang semua nak dan teruja. Nasiblah tu planner ja. Kuss semangat. Lain kali, belilah diari yang ada kunci. Selamat sikit. Diari nak buat kaedah faraid?. Tak sanggup aku.

No comments:

Post a Comment